Thursday, October 8, 2009

Doa anak kecil

Saiyidina Umar menghampiri seorang kanak-kanak sedang bermain, lalu berkata kepadanya:

"wahai anak kecil, berdoalah untukku"

Kanak-kanak itu memandang Saiyidina Umar.

"Tuan adalah khalifah, dan dijamin syurga, berdoalah sendiri." ujar kanak-kanak itu.

Saiyidina Umar menjawab, "wahai anak kecil, engkau masih bersih dari dosa. Doamu akan dimakbul"

Pengajaran kisah ringkas ini:

1) Merendah diri adalah sifat yang mulia. Saiyidina Umar tetap merendah diri kepada rakyatnya, sekalipun hanya seorang budak kecil.

2) Doa akan lebih mudah dimakbul apabila kita bersih dari dosa-dosa. Sentiasalah beristighfar agar ALLAH ampuni dosa-dosa kita. Mudah-mudahan doa kita dimakbulkan-Nya.

3) Jangan memandang rendah doa seorang anak kecil. Berilah kasih sayang kepada kanak-kanak, jangan menzalimi mereka. Jangan menzalimi mereka, kerana ALLAH mendengar doa mereka, selain mereka juga adalah doa orang-orang yang dizalimi.

Wednesday, September 9, 2009

Damaikanlah, jangan bercerai-berai kerana kita bersaudara

بسم الله الحمن الرحيم


"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali ALLAH, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat ALLAH kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat ALLAH, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah ALLAH menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk. "

[Surah A~li 'Imran:103]

Wahai sahabat-sahabat, jadilah kamu orang-orang yang faham dan ikhlas dalam berjamaah. Berpganglah kamu pada tali ALLAH. Agama ALLAH. Janganlah kamu bercerai-berai kerana perselisihan pendapat. Kembalilah kepada matlamat sebenar perjuangan kita, yakni Amru bil-Ma'ruf, wannahyu 'anil-munkari, watu^minuna biLLAH. Kita fahami bahawa tugas ini besar dan tidak terpikul secara sendirian. Gerak kerja ini memerlukan kerjasama kita dalam bentuk berjamaah. Berjemaah memberikan kekuatan kepada gerak-kerja kita, dan membuka jalan keluar kepada permasalahan yang timbul.

Justeru itu, telah digariskan kepada kita beberapa ciri dan akhlak dalam berjamaah, supaya kita dapat meneruskan aktiviti dakwah dengan lebih berkesan bersama-sama sebagai satu pasukan. Konsep taat, wala', kerahsiaan, hati-hati, musyawarah, dan sebagainya perlu difahami dan mematuhinya dengan penuh disiplin dan berakhlak. Konsep taat dan wala' perlu difahami dengan sebaik-baiknya bagi mengelakkan kita menjadi tidak wala' kepada pimpinan, dan tidak pula menyalah-tafsirkan konsep wala' seolah-olah menurut perintah membuta-tuli. Kerahsiaan dan hati-hati perlu dijaga dengan baik dan penuh amanah. Musyawarah adalah elemen penting dalam membuat sebarang keputusan, terutamanya peringkat dasar.

Adat hidup berjamaah, masing-masing mempunyai cara berfikir yang pelbagai. Mempunyai variasi kefahaman bergantung kepada latar belakang dan sikap seseorang. Sebagai anggota jamaah, kita perlu sematkan dalam hati bahawa setiap sahabat kita mempunyai pendirian masing-masing. Kita punya pendirian, dia juga ada pendirian, dan mereka yang lain juga punya pendirian. Samada pendirian mereka sama atau berbeza dengan kita, kita perlu iktiraf, itulah pendirian mereka. Jika mahu pendirian kita dihormati, kita perlu belajar menghormati pendirian orang lain jua, sekalipun kita rasa pendirian mereka itu salah. Mungkin mereka juga menganggap pendirian kita pula tidak benar. Hal ini dapat diatasi dengan adanya musyawarah.

Setiap perbezaan pendapat dalam musyawarah mestilah diurus dengan baik dan bijak. Emosi yang keterlaluan boleh merencatkan proses mencapai kata sepakat. Elakkanlah sikap mempertahankan pendirian itu disertai dengan emosi yang tidak terkawal. Sikap demikian bukan sahaja boleh merenggangkan hubungan persaudaraan, malah bolehmenyebabkan orang-orang bersaudara itu bercerai-berai. Bukankah ALLAH sudah melarang kita daripada bercerai-berai?

Beberapa garis panduan dalam bermusyawarah yang patut kita ambil perhatian. Antaranya:

Niat ikhlas

Awal dari segalanya adalah niat. Pun demikian dalam bermusyawarah. Niatkan bahwa apa yang akan dilakukannya untuk kemaslahatan, dan karena Allah saja.

“Tidaklah iman seseorang itu menjadi lurus hingga lurus hatinya. Tidaklah lurus hatinya hingga lurus lisannya.” (HR Ahmad)

Mulai dari kanan

PMualakan musyawarah dengan memohon izin dan bimbingan ALLAH dengan bacaan basmalah. Setelah itu, mulailah giliran mengemukakan pendapat yang dimulai dari sebelah kanan. Berikan kesempatan mengemukakan pendapat secara adil kepada masing-masing musyawirin (peserta musyawarah) sehingga tidak ada di antara mereka yang terkurangi hak-haknya.
Kendalikan Lisan

Lidah tidak bertulang, demikian kata orang. Oleh sebab itu, sebelum bicara fikirkanlah secara matang, kendalikan lisan, apakah pendapat yang akan dikemukakan membawa manfaat atau justeru melahirkan kemudharatan. Jika pendapat kita tidak diterima, ucapkanlah hamdaLLAH ( al-hamduliLLAH). Sebaliknya, jika diterima, ucapkanlah istighfar `Astaghfirullah hal adzim'. Sebab, boleh jadi pendapat kita itu tersembunyi kemudharatan disebaliknya yang kita tidak nampak. Jika ditolak, kita bersyukur kerana keputusan jemaah mungkin menyelamatkan keputusan musyawarah itu daripada kejahatan yang tersembunyi. Manakala jika pendapat kita diterima, kita beristighfar mohon ampun kerana bimbang lontaran idea kita itu boleh membawa kemudharatan yang kita tidak sedari, yang akan dilaksanakan kerana sudah diterima dalam musyawarah.

Apabila didapati ahli musyawarah keluar dari konteks bahasan, ingatkanlah dengan subhanaLLAH. Dan apabila orang mengemukakan pendapat, dengarlah dengan penuh perhatian. Jangan sama sekali memotong pembicaraan orang lain sebelum selesai pembicaraannya. Berdoalah agar ALLAH melimpahkan hidayah-Nya dalam musyawarah itu dengan memperbanyak zikir dan selawat.

Jangan Berfatwa Tanpa Ilmu

ALLAH berfirman:

Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, pengetahuan, dan hati semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya.” Surah Al-Isra': 36)

Begitupun, jangan membantah hujah dan pendapat orang lain tanpa mempelajari permasalahannya. Barangsiapa tidak tahu, tidak patut baginya memberi komen kepada orang yang tahu. Janganlah pula bersikap fanatik terhadap suatu pendapat yang tanpa disedari pemahaman, petunjuk, dan bukti. Imam Malik pernah ditanya, dan menjawab: “Saya tidak tahu.” Dia menjauhkan dirinya dari berfatwa tanpa ilmu. ALLAH Maha Pengasih kepada sesiapa saja yang memahami kadar kemampuan dirinya.

Jangan Terlalu Mendominasi

Janganlah mendominasi pembicaraan hanya kerana ingin dikenal pandai berbicara, luas pengetahuan dan berwawasan jauh. Mendominasi perbicaraan bukanlah tanda keluasan wawasan seseorang, tetapi ketamakan. Berilah juga peluang kepada orang lain mengemukakan pandangan. Jangan pula kerap memintas perbicaraan orang lain kerana itu mungkin akan merencatkan isi sebenar penyampaiannya.

“Dan sesungguhnya orang yang paling Aku benci dan paling jauh majlisnya dari-Ku pada hari kiamat adalah orang-orang yang berlebihan dalam bicara, yang suka mendominasi orang lain dengan perkataannya dan yang menunjuk-nunjukkan mulut besarnya dengan kata-kata untuk menampakkan kelebihan di hadapan orang lain.” (HR Ahmad dan Tirmidzi)

Rendah Diri

Apabila kita mengetahui ada orang yang lebih berlayak dan lebih berilmu, lebih baik kita mendengar darinya daripada berbicara. Ingat pesan Hassan bin Ali r.a kepada anaknya: “Wahai anakku, jika engkau mengikuti pembicaraan ulama, hendaknya engkau lebih banyak mendengar daripada berbicara. Belajarlah menjadi pendengar yang baik sebagaimana engkau menjadi pembicara yang baik. Dan janganlah memotong pembicaraan meskipun panjang lebar, hingga ia menyelesaikannya sendiri.”

Suara majoriti bukan selalunya benar

Kebenaran tidak selalu dapat diukur dari suara majoriti. Apatah lagi jika hal itu berkaitan dengan kehadiran ahli musyawarah. Kadang-kadang pendapat seorang yang lebih berilmu dan berpengalaman lebih diterima. Sebab itu pendapat dan hujah seorang yang ahli, tidak mudah dikalahkan oleh ahli musyawarah lain yang lebih ramai, yang kurang mahir tentang hal perbincangan itu. Perkara ini bukanlah diskriminasi. Bukankah pendapat seorang doktor tentang hal ehwal penyakit seorang pesakit tidak dapat dibantah oleh sekalian pendapat para jururawat atau seluruh pegawainya meskipun mereka semua tidak sependapat? RasuluLLAH juga pernah bersabda, bahawa bila urusan diserahkan pada yang bukan ahlinya, tunggulah kehancurannya.

Hindari Permusuhan

Terkadang suasana musyawarah dipanaskan oleh perdebatan dan perbezaan kefahaman. Jika sudah demikian, berhati-hatilah dengan tipu daya iblis yang membisikkan seolah-olah kita berbicara kebenaran, padahal sesungguhnya itu hanyalah disebabkan nafsu dan sikap kita yang tidak menyukai seseorang, ingin menjatuhkan seseorang, atau ingin menunjukkan diri kita lebih bagus daripada orang lain.

“Sesungguhnya, larangan yang pertama ditujukan kepadaku setelah penyembahan berhala adalah perdebatan (yang dibayangi permusuhan).” (HR Imam Bazar dan Thabrani dengan sanad lemah).

Bukan menghantam sesiapa

Tidak jarang musyawarah menjadi medan menghentam orang lain. Seolah-olah musyawarah itu kesempatan membuka kelemahan orang lain, di hadapan orang banyak. Hal ini sangat tidak sesuai dengan akhlak Islam. Hindarilah sikap melampaui batas; membuka aib dan merendahkan sesama saudara dan sahabat.

Memahami Perbezaan Pendapat

Perbezaan pendapat bukanlah persoalan yang membahayakan, jika didasari keikhlasan dan diterima dengan lapang dada, sikap toleransi, dan kasih sayang. Imam Abu Hanifah pernah berkata: “Pendapat kami benar, namun memiliki kemungkinan salah, dan pendapat orang lain salah namun memiliki kemungkinan benar.”

Tidak perlu khuatir, terimalah hasil musyawarah yang mungkin berbeza dengan pendapat kita, kerana RasuluLLAH memberi jaminan: Jika ijtihad kita benar, kita akan dapat dua pahala. (yakni pahala ijtihad dan pahala benar - yang membawa kebaikan setelah dilaksanakan). Sebaliknya, jika salah, (juga) tetap akan dapat satu pahala (yakni pahala ijtihad).

Tutup dengan Istighfar

Setelah tahap-tahap musyawarah dianggap selesai, agar majlis kita tidak bernilai lagha (sia-sia), tutuplah majlis tersebut dengan memohon ampun kepada ALLAH dengan doa penutup majlis (tasbih kafarah), سبحانك اللهم وبحمدك أشهد أن لا إله إلا أنت أستغفرك وأتوب إليك SubhanakaLLAHumma wabihambika asyahadu alla ilaha illa Anta ashtaghfiruKa wa atuubu ilaiK, mungkin ada, tersalah bicara, terkasar bahasa, atau kealpaan yang dilakukan pada saat berlangsung musyawarah.

Disamping panduan di atas, sikap kita sendiri sangat perlu untuk memelihara ukhuwwah kita sesama Islam, lebih-lebih lagi sesama ahli jemaah. Dia tidak sempurna, kita juga tidak sempurna. Masing-masing saling melengkapi. Tidak perlu kita mengatakan orang ini bercakap saja, buatnya tidak. Tidak perlu juga kita menuding jari yang orang inilah penyebab kepada masalah itu dan ini. Bukankah ALLAH menyuruh kita mentaati ALLAH dan Rasul-Nya serta pemimpin dalam kalangan kita? Sekiranya berlaku pertikaman lidah, perselisihan faham, ALLAH menyuruh kita kembali merujuk ALLAH dan Rasul (yakni Al-Quran dan Hadis). Tidak pula kita disuruh merujuk kepada pemimpin tadinya, kerana ALLAH Maha Mengetahui, bahawa sifat manusia akan mudah bias kepada pihak tertentu jika terlibat dalam perselisihan.

Firman ALLAH:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ
فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ
إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ
ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً


"Hai orang-orang beriman, taatlah kamu kepada ALLAH dan taatlah kamu kepada Rasul serta pemimpin dalam kalangan kamu, maka sekiranya kamu berselisih pada sesuatu perkara, maka kembalilah kepada ALLAH dan rasul sekiranya kamu beriman kepada ALLAH dan hari akhirat. Demikian itulah yang terbaik dan baik pula kesudahannya. "
[Surah an-Nisa' :59]

Dan janganlah pula wujud dalam jemaah pihak yang tidak mampu bertoleransi, dan tidak pula yang mudah merajuk membawa diri. Semua ini akan merugikan diri sendiri. Bukankah selama ini kita sudah menganggap diri kita faham dan kita pun sudah pula memberi kefahaman kepada orang lain mengenai Jemaah dan Islam itu sendiri? Tidak wajar kerana permasalahan kecil, keharmonian berjemaah tergugat. Ingatlah, kita berjuang bukan kerana individu atau sesiapa. Letakkan perjuangan kita kerana ALLAH dan Rasul, insyaALLAH kita akan terus berada dalam landasan.

Akhir sekali, mohon ampun dan maaf sekiranya catatan ini mengandungi silap dan salah dalam penyampaiannya. Semoga kita saling betul membetuli sesama kita. WaLLAHu a'lam...

Monday, August 17, 2009

Peliharalah lidahmu : Orang-orang beriman tidak akan berbohong

بسم الله الرحمن الرحيم

Seorang sahabat bertanya, “Ya RasuluLLAH, apakah mungkin seorang mukmin bersifat penakut?” Beliau menjawab, “Ya, mungkin.” Baginda SAW. ditanya lagi, “Apakah mungkin ia bersifat kedekut?” Nabi SAW. menjawab, “Ya, mungkin.” Baginda ditanya lagi, “Apakah mungkin seorang mukmin bersifat pembohong?” Nabi SAW menjawab, “Tidak, tidak mungkin.” (Hadith Riwayat Ahmad)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad bin Muhammad bin Ahmad, dari Shafwan bin Salim diceritakan, suatu ketika RasuluLLAH SAW. ditanya, “Ya Rasulullah, apakah mungkin seorang mukmin itu kedekut?” Jawab RasuluLLAH “Ya, mungkin,”, “Apakah mungkin seorang mukmin itu penakut?” Jawab Rasulullah “Ya, mungkin.” “Apakah mungkin seorang mukmin itu pembohong?” Jawab Rasulullah “Tidak!”

Sedutan hadis di atas memberi maksud bahawa ada kemungkinan orang-orang beriman itu bersifat kedekut, kikir dan bakhil. Dan ada pula kemungkinan orang-orang beriman itu bersifat penakut, tidak tahan diugut dan seumpamanya. Tetapi RasuluLLAH S.A.W bertegas bahawa orang-orang beriman sekali-kali tidak akan berbohong. Orang-orang beriman tidak akan berbohong, kerana berbohong dan berdusta itu adalah ciri-ciri orang munafiq.

Sabda RasuluLLAH S.A.W: “Tanda-tanda orang munafiq itu tiga, apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia dia berjanji dia menyalahi janjinya, apabila dia diberi amanah dia khianati”

Orang-orang munafiq diancam dengan neraka bersama-sama dengan orang kafir.

"Khabarkan kepada orang-orang yang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih." (An-Nisaa': 138)

"Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka." (An-Nisaa': 142)

ALLAH S.W.T telah menegaskan dalam al-Quran bahawa orang-orang yang berbohong bukanlah golongan beriman kepada ALLAH.

ALLAH berfirman yang bermaksud: "Bahawa orang-orang yang suka melakukan pembohongan merupakan orang yang tidak beriman kepada ALLAH. Mereka itu pendusta" (Surah an-Nahl: 105)

Sahabat-sahabiyyah, muslimin muslimat, para pejuang Islam sekalian,

Berbohong adalah salah satu daripada ciri-ciri orang munafiq, yang kita selaku orang yang mengaku beriman kepada ALLAH mesti jauhi. Jauhilah berbohong dan berkata dusta kerana sikap demikian akan menjatuhkan maruah, menghilangkan kepercayaan dan melunturkan rasa hormat orang kepada kita.

Sebagai daei dan pejuang Islam, sikap suka berdusta akan memalitkan imej buruk bukan shaja kepada diri sendiri, malah akan turut memberi persepsi buruk terhadap dakwah yang disampaikan. Penerimaan mad’u kepada dakwah akan tawar dek kerana si daei suka berbohong, pernah berbohong.

Ingatlah saudara-saudariku, elakkanlah berbohong walaupun sekali. Hindarilah berbohong sekalipun bergurau. Jauhilah berbohong sekalipun dibohongi. Tidak akan mulia orang-orang yang berbohong, bahkan akan terhina di sisi ALLAH.

Tiada istilah “bohong sunat”, melainkan bohong itu semuanya haram dan berdosa. Melainkan di beberapa tempat yang diharuskan. Harus berbohong demi mendamaikan dua pihak yang bertelagah. Harus jua berbohong jika maslahahnya menyelamatkan maruah dan aqidah. “Harus” dalam ertikata tidak melampaui had yang dibenarkan, dan tidak pula berbohong itu sampai kepada peringkat “sunat”. “Bohong sunat” hanyalah fatwa songsang daripada orang-orang yang suka berbohong dan ingin menghalalkan pembohongannya.

Adapun diceritakan bahawa nabi Ibrahim pernah “berbohong”. Persitiwa “berbohong” itu dikatakan menjadi sebab Nabi Ibrahim menolak permintaan manusia untuk mendapatkan syafaatnya (hingga sampai kepada Nabi Muhammad S.A.W, barulah mendapat syafaat). Nabi Ibrahim sendiri berasa gementar dengan suasana kemurkaan ALLAH pada hari tersebut dan memikirkan kalau-kalau ALLAH memurkai baginda disebabkan peristiwa baginda pernah berbohong.

Hadis Sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim yang merakam bahawa Nabi Muhammad pernah bersabda: “La yakdzib Ibrahimu illa tsalatsa kadzabat (Tidak pernah berbohong Nabi Ibrahim a.s. kecuali dalam tiga peristiwa);

Pertama, sabda nabi Ibrahim: Bal fa’alahu kabiruhum hadza (Patung besar itu yang melakukannya) QS. al-Anbiya’: 63.

Kedua, perkataan: Inni saqim (Sesungguhnya saya sakit) QS. ash-Shaffat: 89.

Yang ketiga adalah perkataan Ibrahim tentang Siti Sarah (isterinya) ketika ditanya oleh Raja yang zalim, ia menjawab: Hadzihi ukhti (ini adalah saudariku).”

Mungkinkah seorang nabi seperti Nabi Ibrahim yang maksum berbohong? Dalil-dali di atas di bahas oleh ulama seperti Imam Ibnu Hajar al-’Asqalani (W. 852 H/ 1448 M) menghurai hadis tersebut dalam kitabnya Fathul Bari Bisyarhi Shahihil Bukhari dan Imam an-Nawawi ( W. 676 H/ 1277 M) dalam kitabnya al-Minhaj Syarah Shahih Muslim Ibnul Hajjaj; bahwa tiga perkataan Nabi Ibrahim tersebut merupakan bentuk Tauriyah (Hal menampakkan di luar yang dimaksudkan) dan hal itu bukanlah suatu pembohongan apabila tiga perkataan tersebut difahami secara mendalam. Nabi Ibrahim menyampaikannya dalam keadaan yang mengandung dua pengertian (maksud) dan apabila keadaan tersebut difahami lebih mendalam oleh pendengarnya maka akan diketahui bahawa Nabi Ibrahim tidaklah berbohong.

Maka menurut sebagian Ulama, takwil tiga perkataan Nabi Ibrahim itu adalah; Pertama, Bal fa’alahu kabiruhum hadza (Patung besar itu yang melakukannya) sebenarnya yang menghancurkan berhala-berhala yang kecil itu adalah patung yang paling besar kerana sebab dialah aku (Ibrahim) yang melakukannya (isnad majazi). Kedua, Inni Saqimun (saya sakit) maksudnya aku akan sakit, kerana setiap manusia akan mati, dan pada umumnya kematian didahului oleh sakit. Makna perkataan nabi Ibrahim tersebut selari dengan firman ALLAH Innaka mayyitun wa innahum mayyitun (Sesungguhnya engkau [Muhammad] akan mati dan mereka juga akan mati) QS. az-Zumar: 30.

Ketiga, Hadzihi ukhti (ini saudariku) maksudnya saudaraku dalam iman dan Islam (fil ukhuwwah al-Islamiyyah) bukan saudara dalam nasab keturunan. Jika Nabi Ibrahim mengatakan hadzihi zaujati (ini adalah isteriku) maka Sarah akan dirampas oleh Raja yang zalim tersebut.

Perhatikan tutur kata kita seharian. Apakah terselit perkataan dusta dan bohong sepanjang hari kita berurusan dengan lidah kita? Sesungguhnya perkataan dusta dan bohong itu kelak akan menyebabkan kita merana di sana. Di dunia pun orang sudah hilang percaya kepada kita, di akhirat sana. Sedangkan nabi-nabi gerun dan gementar pada hari akhirat dek kerana ALLAH menunjukkan kemurkaan-Nya kepada para penderhaka-Nya di dunia. Para nabi takut kalau-kalau ada kesilapan mereka sekalipun kecil menyebabkan ALLAH murka. Maka siapalah kita untuk berdiri teguh, tenang dan tidak cuak pada hari tersebut dek kerana dosa-dosa kita yang sengaja dan tidak disengajakan, yang terang mahupun sembunyi. Malah dosa-dosa lidah kita yang selalu kita lalai daripadanya menyebabkan hisab kita menjadi sesuatu yang mengerikan.

Jauhilah berbohong sekalipun bergurau. RasuluLLAH juga pernah bergurau, tetapi baginda tidak sama sekali berbohong dalam gurauannya. Perhatikanlah, jika berbohong hanya untuk bergurau pun, si pendengar akan mula mempersoalkan kebenaran kata-kata si penutur untuk percakapan seterusnya sekalipun perkataan seterusnya itu kita cuba nyatakan yang benar. Jika berbohong dalam gurauan sekalipun sudah menyebabkan orang hilang percaya, apatah lagi berbohong secara serius. Laknat ALLAH ke atas orang-orang yang suka berbohong.

Saudara-saudari teman-teman seperjuangan,

Berbohong bukanlah akhlak seorang muslim yang beriman. Bukan jua sifat para daei dan pejuang gerakan Islam. Elakkan diri kita berbohong dalam gerak kerja dakwah kita. Namun kita bukanlah maksum. Jika kita pernah berbohong kepada manusia, mohon maaflah kepadanya dan berazamlah untuk tidak mengulanginya. Mohon ampun dari ALLAH agar membersihkan lidah kita dari dosa-dosa bohong dan fitnah. Tutur kata lidah lebih tajam dar mata pedang. Ia mampu mencederakan manusia. Ia mampu mencetuskan huru hara. Ia mampu menyalakan api peperangan. Ia akan menjadi bebanan di hari hisab segala amalan. Lidah jua mampu menyatu-padukan manusia. Lidah juga mampu medamaikan manusia. Lidah juga boleh membantu meringankan hisab di sana. Terpulang kepada kita pemiliknya. Menjaga lidah bukan hanya dibulan puasa dek kerana takut hanya lapar dan dahaga. Menjaga lidah adalah kemestian sepanjang masa.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada ALLah dan hari kiamat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain antaranya bermaksud: "Tidak akan lurus iman seseorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya sehinggalah lurus pula lidahnya. Dan seseorang hamba tidak akan masuk syurga selagi tetangganya belum aman daripada kejahatan lidahnya" (Riwayat Ibnu Adid-Dunya)

Jadi, sebagai orang yang beriman, jauhkanlah diri daripada kejahatan lidah, mengeluarkan kata-kata dusta.

Firman Allah yang bermaksud: "Jauhkanlah perkataan-perkataan dusta" (Surah al-Haj: 30)

Marilah kita sama sama berdoa memohon ALLAH membantu kita memelihara tutur kata kita agar kita terhindar dari perkataan bohong dan dusta.

Ya ALLAH, ampunilah dosa-dosa kami, dosa-dosa lidah dan tutur kata kami. Peliharakah lidah kami daripada berkata dusta, jauhkan lidah kami dari perkataan mengadu domba, hindari lidah ami dari kata-kata nista dan pencetus huru-hara. Kurniakan kami lidah yang fasih tutur bicara, yang menyeru umat manusia kepada jalan yang Engkau redhai. Jadikanlah lidah kami tutur katanya menyatupadukan umat manusia. Bantulah lidah kami dalam mengucapkan zikir kepada-Mu. Wahai ALLAH, Engkau yang menciptakan lidah kami, berikanlah segala kebaikan kepada lidah kami ini, hidarilah segara keburukan daripadanya. Mudah-mudahan kami dijauhi dari laknat-Mu.

Saudara-saudari, para daei pejuang-pejuang Islam,

Andaikata diriku ini pernah berbohong kepada kalian, maafkanlah daku. Perbetulkan lah aku jika didapati aku tersasar kata-kataku. Aku manusia yang lemah. Lidahku yang tidak bertulang ini mungkin terkadang melukakan hati kalian dengan kata-kata dusta. Tegurlah aku, jangan biarkan aku meneruskan perkataan bohongku.

Berusahalah agar sifat benar menjadi pegangan hidup kita. Ajarlah diri kita untuk membenci berbohong. Biarlah akhlak Islamiyyah ini menjadi syiar kita umat Islam, para pendokong gerakan Islam. Biarlah suatu hari nanti orang bukan Islam akan penuh yakin mempercayai kata-kata orang beriman apabila kita berkata:

"Percayalah kata-kataku, aku tidak akan berbohong kepadamu kerana aku adalah orang beriman.."

WaLLAHu a’lam...



Saturday, August 1, 2009

Marilah bersama-sama menjadi pejuang Islam

بسم الله الرحمن الرحيم


Sahabat-sahabiyah, saudara saudari muslimin muslimat sekalian,

Hidup kita di dunia hanyalah sementara. Itulah ungkapan peringatan yang selalu kita dengar agar kita tidak terus leka. Dengan ungkapan itulah membuatkan kita teringat akan datang suatu hari nanti di mana kita akan meninggalkan dunia, bertemu ALLAH 'Azzawajalla.

Kita hidup di dunia ini adalah atas qudrah dan iradah ALLAH. Dia tidak menciptakan kita dengan tujuan yang sia-sia. Dia adalah Tuhan kita yang Maha Bijaksana, Maha Agung serta Kekuasaan-Nya meliputi segala-galanya. Maka mustahil bagi-Nya untuk melakukan sesuatu yang sia-sia tanpa objektif.

Setelah kita fahami bahawa ALLAH menciptakan kita untuk beribadah kepadanya, dan kita fahami amanah kita sebagai khalifah di muka bumi, maka kita sewajibnya melaksanakan titah perintah-Nya tanpa ragu-ragu. Sebagai orang-orang yang mengaku beriman kepada ALLAH, kita akan bersungguh-sungguh dalam mengejar ganjaran dan keredhaan ALLAH S.W.T tanpa rasa takut, lemah dan berputus asa - kerana tempoh hidup kita di dunia hanya sekelumit sahaja berbanding dengan hari akhirat yang kekal selama-lamanya. Beruntunglah orang-orang beriman, yang berjuang di jalan ALLAH dengan harta dan jiwa raganya, manakala rugi besarlah kepada sekalian penentang agama ALLAH, yang bongkak dan sombong kepada-Nya, yang degil lagi keras kepala terhadap peringatan-Nya.

Dunia hari ini memperlihatkan Islam berada ditahap yang amat getir. Islam kembali menjadi dagang. Islam menjadi asing sekalipun dalam hati orang-orang yang mengaku beragama Islam. Islam menjadi sesuatu yang pelik untuk diamalkan. Dan RasuluLLAH S.A.W menyatakan, beruntunglah orang-orang 'dagang, asing dan pelik'. Beruntunglah orang-orang yang masih utuh aqidahnya, kental jiwanya, tetap pendiriannya bersama-sama Islam dikala umat manusia amnya, umat Islam khasnya yang hanyut bersama arus jahiliyyah yang melanda umat akhir zaman.

Sahabat sahabiyyah para pejuang Islam sekalian,

Kita perlu meletakkan diri kita bersama-sama dengan arus perjuangan Islam dalam melawan arus jahiliyyah yang dimanipulasi oleh pendokong-pendokong ideologi kuffar yang sangat bencikan kedaulatan Islam di muka bumi. Kitalah generasi yang perlu bergerak menyambung mata-mata rantai perjuangan yang digalas oleh generasi terdahulu. Ingatlah sekiranya kita mengelak dari perjuangan ini, ALLAH tidak akan rugi sedikitpun, malah kitalah sebenarnya akan rugi. ALLAH pasti akan menggantikan kaum lain, pihak lain, untuk terus menyambung perjuangan ini jika kita enggan. Janji ALLAH pasti.

Sebagai pejuang Islam, beberapa aspek pembinaan diri perlu dilakukan agar kita tidak mudah dihanyutkan arus jahiliyyah yang menggila. Ciri-ciri pejuang Islam yang dapat kita petik daripada ayat di atas [surah At-Taubah:112]:

1) At-ta~ibuun - orang-orang yang sentiasa bertaubat
2) Al-'abiduun - orang-orang yang sentiasa beribadah
3) Al-Hamiduun - orang-orang yang sentiasa memuji ALLAH
4) As-saa-ihuun - orang-orang yang keluar menuntut ilmu, berjihad
5) Ar-Raaki'uun - orang-orang yang ruku'
6) As-saajiduun - orang-orang yang sujud
7) Al-Amiruuna bil Ma'ruf - orang-orang yang menyeru manusia kepada perkara ma'ruf (baik)
8) An-Nahuna 'anil Munkar - orang-orang yang mencegah manusia darpada perkara mungkar
9) Al-hafizhuuna lihududiLLAH - orang-orang yang menjada had-had (hukum-hukum) ALLAH.

Maka sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang beriman pejuang-pejuang Islam itu , yakni syurga ALLAH.

Ciri-ciri pejuang Islam yang disebutkan di atas perlu kita terapkan dalam kehidupan harian kita dan berusaha semampu boleh untuk memperoleh kesemua ciri tersebut.

Malang sekali sekiranya akhlak dan identiti orang-orang yang mengaku beriman dan pejuang islam memiliki ciri-ciri jahiliyyah seperti orang lain. Moga diri kita, ahli keluarga kita, sahabat-sahabat kita, anak cucu dan keturunan kita terhindar dari malapetaka jahiliyyah yang melanda. Bersama-samalah kita meletakkan diri kita sebagai pejuang Islam. Mudah-mudahan, anak cucu kita turut mewarisi ciri-ciri tersebut. Sekalipun Islam belum menang di zaman kita, yakinlah ALLAH akan memberikan kemenangan kepada generasi anak cucu kita. Syaratnya, persiapannya adalah bermula dari kita. Bukanlah kita yang memulakan perjuangan ini, dan jangan pula kita yang mengakhirinya.

WaLLAHU a'lam.

Thursday, July 30, 2009

Tolaklah ideologi selain Islam!

بسم الله الرحمن الرحيم

قل يائها الكافرون (1) لا أعبد ما تعبدون (2) ولا أنتم عابدون ما أعبد (3) ولا أناعابد ما عبدتم (4) ولا أنتم عابدون ما أعبد (5) لكم دينكم ولي دين (6

Maksudnya:

Katakanlah (Hai Rasul-Ku Muhammad): Hai sekalian orang kafir! (1) Tidak sekali-kali aku sembah apa yang kamu sembah (2) dan tidak kamu menyembah apa yang aku sembah (3) dan tidak aku beribadat sebagaimana kamu beribadat (4) dan tidak pula kamu beribadat sebagaimana aku beribadat (5) untuk kamu agama (cara hidup) kamu, untuk aku agamaku (6)

Sahabat-sahabat yang dikasihi,

Pertama sekali marilah kita sama-sama membersihkan diri dan hati kita daripada sifat riyak, ‘ujub, takabur dan syirik, kerana sifat-sifat ini bukan sahaja membawa dosa dan kemurkaan ALLAH kepada kita, malah turut menyusahkan proses menerima ilmu ALLAH. Mudah-mudahan kita sama-sama berada dalam rahmat dan kasih sayang-Nya.

Dalam posting yang lepas, kita dapat merenung kembali betapa hebatnya fungsi akal yang ALLAH kuriniakan kepada makhluk-Nya yang bernama manusia. Kita adalah makhluk yang bernama manusia itu. Betapa akal yang terisi dengan ilmu yang benar sahaja akan member kebaikan kepada manusia seluruhnya, dan sebaliknya pula berlaku apabila akal itu tidak terisi dengan ilmu yang diredhai ALLAH. Manakala ilmu-ilmu yang diperoleh manusia itu akan membentuk identity dan ideology pemikiran (fikrah) manusia, sehingga timbul pelbagai ideology yang bertentangan dengan syariat ALLAH.

Kita dapat kelaskan dua ideology besar yang bertentangan antara satu sama lain yang dianuti manusia seperti yang disebut dalam al-Quran, iaitu ideology orang-orang Mukmin, dan ideology orang-orang Kafir. Orang-orang mukmin (orang-orang beriman) adalah mereka yang taat dan patuh kepada perintah ALLAH, dan menghindari setiap larangan-Nya tanpa berbelah bagi.

Manakala orang-orang kafir adalah golongan yang ingkar dan menyangkal ajaran ALLAH S.W.T.
Kita selaku manusia yang hidup di dunia ini, tidak sekali-kali akan terlepas daripada menganuti salah satu daripada dua ideology besar ini; yakni beriman atau kafir kepada ALLAH. Ideologi orang-orang beriman adalah Islam. Manakala ideology orang-orang kafir adalah selain daripada Islam. Wujud pula pecahan-pecahan ideology bukan Islam itu seperti ideology komunisme, marxisme, sosialisme, materialisme, sekurarisme, buddhisme, hinduisme, sikhisme, taoisme, judaisme dan macam-macam ~isme yang lain, termasuk ajaran-ajaran sesat yang timbul dari hari ke hari.

إن الدين عند الله الإسلام

Sesungguhnya deen ( cara hidup; agama; ideology) di sisi ALLAH hanyalah Islam

Sahabat-sahabat sekalian,

Kita sebagai umat Islam, wajib menghindarkan diri daripada ideology-ideologi kafir, samada dari segi pengamalannya, pemikirannya dan sebagainya. Timbul pula kebelakangan ini pendokong-pendokong ideology selain Islam untuk menyama-tarafkan ideology mereka dengan Islam. Kononnyauntuk saling lengkap melengkapi, tiada agama yang lebih tinggi melainkan semuanya sama atas dasar hak kebebasan beragama, dan seumpamanya.

Nah, ALLAH sudah pun mengajar Nabi Muhammad RasulaLLAH S.A.W berdepan dengan perkara ini. Peristiwa di mana al-Walid bin al-Mughirah, al-‘As bin al-Wa’il, al-Aswad bin ‘Abd al-Muttalib dan Umayyah bin Khalaf berjumpa Nabi kita Muhammad RasuluLLAH S.A.W dan berkata: “Hai Muhammad, (begini sajalah) kami menyembah apa yang engkau sembah, dan engkau pula sembah apa yang kami sembah. Kita sama-sama berkongsi pada setiap perkara. Sekiranya apa yang engkau bawa itu (Islam) lebih baik daripada pegangan kami, kami akan berkongsi dengan engkau mengenai perkara itu. Sekiranya pula terdapat pula dari pegangan kami itu lebih baik dari pegangan engkau, maka engkau boleh berkongsi dengan kami mengenai perkara itu, dan engkau masih boleh mengambil bahagian engkau daripadanya”. Lalu turunlah Surah al-kafirun, yang menolak mentah-mentah tawaran Kafir Quraisy itu.

Orang-orang kafir itu sesungguhnya mereka itu sama sahaja sikap mereka, samada kita seru dakwah kepada mereka atau pun tidak. Mereka tetap tidak akan beriman kerana hati mereka sudah di tutup oleh ALLAH.

إن الذين كفروا سواء عليهم ءأنذرتهم أم لم تنذرهم لا يؤمنون

Sesungguhnya orang-orang yang ingkar itu sama saja keadaan mereka samada engkau beri peringatan kepada mereka, ataupun engkau tidak beri peringatan kepada mereka, mereka tetap tidak beriman.

ALLAH murka kepada golongan yang kafir dan ingkar ini.

إن شر الدواب عند الله الصم البكم الذين لا يعقلون

Sesungguhnya ‘binatang’ (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi ALLAH ialah; orang-orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apapun. [al-anfal-22]

Orang-orang celaka yang berkeliaran di muka bumi ialah orang-orang yang tuli lagi bisu yang tidak menggunakan akalnya. Mereka tuli telinganya hendak mendengar yang Hak, bisu lidahnya hendak mengatakan atau menyatakan yang Hak. Dan akalnyavtiada dipergunakan untuk memikirkan kebenaran untuk ekbahagiaan dirinya.

Kita hendaklah menolak seluruhnya perkara yang bercanggah dengan Islam. Tiada kompromi dalam isu aqidah. Islam itu tinggi, tiada yang sama atau lebih tinggi daripadanya. Tiada manfaat daripada fahaman selain Islam yang boleh diambil sekiranya pada masa yang sama menggugat Islam dari sudut aqidah, syariah, akhlak, muamalah dan sebagainya.

Percanggahan ideologi sesame manusia inilah yang mencetuskan huru hara dan peperangan dari umat terdahulu, hingga hari kiamat. Kita tidak dapat mengelak daripadanya. Lantaran itu kita hendaklah memilih untuk bersama-sama kumpulan, atau jamaah yang berjuang mempertahankan ideology Islam, aqidah islam, syariah Islam dengan harta dan jiwa sebagai menyahut seruan ALLAH. Tiada perniagaan yang terlebih baik melainkan tawaran yang ALLAH bentangkan dalam al-Quran. Beruntunglah jika kita bersama-sama orang-orang beriman, dan rugilah jika kita ketinggalan daripadanya.

WaLLAHU a'lam.

Sunday, July 26, 2009

Akal tanpa ilmu, rosaklah manusia

Dengan nama ALLAH, ku mulai tulisan-tulisan dalam blog ini, moga-moga Engkau memelihara akalku, tanganku, dan diriku daripada menulis perkara-perkara yang Engkau murkai. Segala puji-pujian kepada ALLAH. Syukur kepada-Nya, kita masih diberi peluang untuk bernafas dalam nikmat iman dan Islam. Mudah-mudahan kita terus menjadi hamba-Nya yang bersyukur.

Para pembaca yang dihormati,

Sesungguhnya kita manusia dimuliakan dan dibezakan daripada makhluk-makhluk yang lain dengan kelebihan akal fikiran. Dan diangkat darjat akal fikiran kita dengan ilmu yang bermanfaat. Sebaik-baik ilmu adalah yang membawa kita kepada ma’rifatuLLAH; yakni mengenal ALLAH. Tidak kira apa jua jenis ilmu, yang mendekatkan diri kita kepada Tuhan Rabbul Jalil adalah sebaik-baik ilmu. Maka sebaliknya segala apa jenis ilmu yang menjauhi daripada mengenal ALLAH, malah mendatangkan kemurkaan-Nya, itulah seburuk-buruk ilmu. Ilmu yang dicari, dipelajari dan ditimba mestilah mempunyai asas keimanan dan taqwa serta patuh kepada ALLAH. Ilmu yang diredhai ALLAH akan membawa kepada barakah dan kemuliaan.

Dunia hari ini menyaksikan dunia porak-peranda akibat perang di mana-mana sahaja. Peperangan yang berlaku, huru-hara ynag terjadi, bukanlah asasnya kerana ketidak-stabilan ekonomi. Bukan kerana kecelaruan politik yang difahami. Bukan juga kerana masalah perkauman yang terjadi. Bahkan segala kemelut kemanusiaan yang berlaku adalah kerana pertembungan dan perbezaan ideologi. Ideologi yang bercanggah antara suatu pihak dengan pihak yang lain mencetuskan rasa sangsi dan saling tidak percaya mempercayai.

Ideologi yang berbeza adalah berpunca daripada ilmu yang diperolehi. Ilmu dan pengetahuan yang diterima tanpa asas keimanan dan taqwa akan mudah menyesatkan diri. Akal yang diisi dengan ilmu tanpa kawalan Ilahi, menyebabkan tumbuhnya pelbagai ideologi. Ilmu yang terbaik dan paling mujarab bagi menyatukan ideologi-ideologi manusia adalah ilmu al-quran. Al-quran adalah sumber ilmu yang paling baik bagi mengisi potensi akal manusia. Corak pemikiran yang berlandaskan ajaran al-quran akan melahirkan manusia yang baik lagi bermanfaat kepada persekitarannya.

Sahabat-sahabat sekalian,

Dari zaman para nabi dan rasul terdahulu ‘alaihimusSalam, sehingga Nabi kita Muhammad rasuluLLAH S.A.W, sampai kepada kita hari ini, bahkan hingga kiamat kelak, ideologi-ideologi ciptaan manusia akan terus bertembung tanpa titik pertemuan. Malah ideologi-ideologi ini turut menentang ad-deen yang diturunkan ALLAH melalui para nabi dan Rasul-Nya.

Islam adalah ad-deen yang benar, yang diturunkan oleh ALLAH untuk memandu hidup manusia. Islam adalah sistem kehidupan yang sempurna. Islam memandu ideologi, sistem politik, ekonomi, komuniti, akhlak, perundangan, muamalat, sosio-budaya, akal fikiran, nafsu keinginan, emosi - perasaan, tindakan dan sebagainya. Semua permasalahan tersebut, Islam ada penyelesaiannya. Bergantung samada kita benar-benar yakin atau tidak dengan janji ALLAH S.W.T serta usaha yang kita lakukan.

Aqidah Islam berupaya menyatu-padukan manusia yang berbeza status kasta, kaum, darjat kebesaran, jawatan, dan sebagainya. Islam mengajar manusia bahawa kemuliaan sebenar manusia adalah kemuliaan di sisi ALLAH, Tuhan Rabbul Jalil. Tuhan yang menguasai alam semesta. Dan darjah taqwalah yang akan membezakan kemuliaan manusia di sisi-Nya. Dari titik tolak inilah manusia perlu faham bahawa kekayaan bukalah ukuran kemuliaan. Putih warna kulit bukan ukuran kemuliaan. Berdarah keturunan raja bukan kemuliaan. Sekalipun berdarah keturunan nabi, bukan ukuran kemuliaan. Berjawatan besar juga bukan ukuran seseorang itu mulia. Taqwa sahaja parameter kemuliaan yang mesti kita usaha mendapatkannya.

Sekiranya kita berasa megah dengan kekayaan dan memandang hina si miskin, seandainya kita berbangga mendabik dada dengan jawatan besar dan menindas orang bawahan, atau kita berasa lebih mulia daripada orang lain kerana bangsa keturunan kita dan bersikap zalim terhadap bangsa lain, maka ingatlah, sesungguhnya kita telah memilih ideologi yang bercanggah dengan Islam secara sedar ataupun tidak. ALLAH sangat benci kepada orang-orang yang zalim dan melampaui batas.

Sahabat-sahabiyyah sekalian...,

Perjuangan menegakkan Islam di muka bumi adalah perjuangan yang berterusan. Perjuangan yang sudah dilaksanakan nabi dan rasul serta para pengikut mereka, kini disambung oleh kita. Bukanlah kita yang memulakan perjuangan ini, jangan pula kita menjadi orang yang menamatkan perjuangan. Kita adalah salah satu daripada mata-mata rantai yang menyambung perjuangan orang-orang terdahulu. Dan tanggungjawab kita jualah memastikan kesinambungan perjuangan Islam ini kepada generasi seterusnya.

Dari dulu hingga sekarang, sampai kiamat akan wujud golongan yang berjuang menegakkan kalimah ALLAH. Pada masa yang sama, wujud juga golongan yang menentang arus perjuangan Islam ini samada secara terang-terangan ataupun secara sembunyi. Beruntunglah bagi sesiapa yang bersama dengan arus perjuangan Islam samada dengan hartanya, jiwanya, masanya serta sokongannya. Celakalah mereka yang menentang arus perjuangan dan azabnya seperti yang tercatat dalam al-quran. Maka bagaimanakah keadaan kita? Pilihlah jalan mana yang sebenarnya diredhai ALLAH. Jalan manakah harus kita lalui untuk mendapat kemuliaan di sisi-Nya. Kita tidak akan terlepas daripada memilih salah satu jalan-jalan ke syurga atau neraka.

Ada pula yang bertanya, bolehkah tidak memilih ke dua-dua? Hendak membantu perjuangan Islam ditakuti akan dikenakan tindakan, hendak membantu pihak menentang Islam, ditakuti akan terkena azab ALLAH, maka apakah jalan tengahnya boleh diambil dengan tidak menyertai mana-mana pihak? Sesungguhnya pengakhiran kehidupan kita hanyalah syurga atau neraka. Tiada tempat akhir yang ke tiga. Sekalipun kita memilih untuk duduk bersahaja tanpa berbuat apa-apa bagi membantu perjuangan Islam, tidak pula membantu musuh Islam, maka ingatlah bahawa kita tetap akan dihisab oleh ALLAH dengan hisab yang sangat teliti dan rumit. Jika duduk bersahaja kita itu menyebabkan perjuangan Islam mundur, bukankah sama sahaja dengan kita membiarkan musuh Islam menang? Bagaimana pula hisab di akhirat kelak, adakah kita akan terlepas dari “dosa” duduk bersahaja itu?

Sesungguhnya i’tiqad kita, keyakinan kita, kepercayaan kita, komitmen kita terhadap perjuangan menegakkan Islam adalah bergantung kepada keimanan kita kepada ALLAH dan rasul-Nya. Keimanan tidak akan diperoleh melainkan setelah adanya ilmu yang berpaksi kepada ma’rifatuLLAH, yang mencerahi akal fikiran kita. Tanpa ilmu yang benar, manusia akan jahil dan ditipu oleh kejahilan diri sendiri. Mereka akan mencipta fahaman sendiri yang menyimpang dari petunjuk Ilahi.

Tanpa ilmu, professor akan jahil. Tanpa ilmu, segenius mana manusia, dia akan jahil. Jahiliyyah bukanlah kerana mereka bodoh, tetapi disebabkan jauhnya mereka dari petunjuk ALLAH. Mereka jahil untuk memilih yang mana perjuangan Islam, yang mana perjuangan menentang Islam. Mereka jahil untuk memilih syurga atau neraka sebagai pengakhiran hidup mereka. Yakinlah janji ALLAH, Islam akan menang jua, terpulang kepada kita samada mahu bersama arus memenangkannya atau gerombolan yang cuba menggagalkannya. Semoga kita diampun oleh ALLAH. Mudah-mudahan ALLAH terus meletakkan kita di atas landasan istiqomah dalam perjuangan meninggikan kalimah ALLAH. Islam itu tinggi, tiada yang lebih tinggi darinya.

WaLLAHu a'lam.

Friday, July 24, 2009

Berdampinglah dengan orang-orang soleh

Berdamping dengan ulama dan orang-orang soleh adalah suatu perkara yang perlu kita tekankan dalam kehidupan kita seharian. Walau di mana kita berada, carilah orang-orang soleh untuk kita dampingi. Orang-orang soleh akan menjadi cermin bagi diri kita. Beruntunglah sesiapa yang bersama mereka, rugilah bagi mereka yang menjauhi mereka, dan celakalah bagi mereka yang memusuhi orang-orang soleh di sisi ALLAH.

Di akhirat kelak, amalan berdamping dengan ulama dan orang-orang soleh ini ada nilainya di sisi ALLAH, sekalipun di dunia dahulunya, seseorang itu tidak pernah berdamping dengan ulama atau orang soleh, melainkan hanya sekali sahaja dalam satu majlis makan, ia tetap dikira bernilai di sisi ALLAH. Beruntunglah orang-orang yang mendapat syafaat daripada orang-orang soleh dengan izi ALLAH di akhirat kelak.

Jesteru itu, apakah kita di dunia ini memilih untuk mendampingi atau menjauhi orang-orang soleh? Atau kita cuba menjadi musuh orang-orang yang soleh dek kerana jahil dan angkuhnya diri kita dengan kedudukan yang kita ada? Siapakah orang-orang yang diizinkan memberi syafaat? Adakah orang-orang yang kita panggil mereka tok guru, ustaz dan ustazah? Marilah kita renung sejenak dan kenali golongan yang diizinkan ALLAH memberi syafaat kepada kita. Mudah-mudahan kita akan berusaha mendampingi mereka dan amalan mereka.

Orang-orang yang diizinkan ALLAH S.W.T untuk memberikan syafaat adalah :

1. Para Nabi dan yang paling utama adalah Nabi Muhammad S.A.W.

2. Malaikat ;

Berdasarkan firman ALLAH:

يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلَا يَشْفَعُونَ إِلَّا لِمَنِ ارْتَضَى وَهُم مِّنْ خَشْيَتِهِ مُشْفِقُونَ

Maksudnya: “ALLAH mengetahui segala sesuatu yang dihadapan mereka (malaikat) dan yang di belakang mereka, dan mereka tiada memberi syafaat melainkan kepada orang yang diredhai ALLAH, dan mereka itu selalu berhati-hati karena takut kepada-Nya.” (QS. Al-Anbiya : 28)


3. Orang-orang shidiq dan yang mati syahid;

Sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Baihaqi dari Ibnu Mas’ud bahwa Nabi S.A.W bersabda,

"… Tidaklah seseorang memberikan syafaat lebih banyak dari pemberian syafaat Nabimu, kemudian para malaikat lalu orang-orang yang mati syahid."

Didalam riwayat Tirmidzi, Hakim yang disahihkan oleh Baihaqi,

"Akan masuk surga dengan syafaat seorang dari umatku lebih banyak dari Bani Tamim.” Mereka bertanya,”Bukan engkau wahai Rasulullah?” Beliau menjawab,”Bukan aku

Diriwayatkan oleh Baihaqi ;

Dikatakan kepada seseorang,’Wahai fulan bangun dan berikanlah syafaat, maka orang itu pun memberikan syafaat kepada kabilahnya, anggota keluarga, satu orang atau dua orang tergantung kadar amalnya.”


4. Orang-orang soleh yang berbuat baik kepada manusia.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim sebuah hadis yang panjang tentang syafaat orang-orang beriman kepada saudara-saudaranya yang seharusnya ke neraka. Dalam syarahnya—an-Nawawi—mengatakan bahawa syafaat orang-orang beriman adalah bagi orang yang masuk neraka lalu ALLAH memerintahkan orang-orang yang memberikan syafaat agar mengeluarkan mereka darinya atau kepada orang yang seharusnya ke neraka setelah orang itu berada dibarisan yang siap dihumban ke neraka, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah berupa syafaat seorang laki-laki yang berada dibarisan yang baik kepada barisan kedua dengan memberikannya minuman atau menunaikan suatu keperluannya di dunia, seperti disebutkan Qurthubi didalam tafsir ayat kursi.


5. Para penghafal Al Qur’an,

Sebagaimana diriwayatkan Tirmidzi, Ibnu Majah dari Ali bahwa Nabi S.A.W bersabda,

”Barangsiapa yang membaca Al Qur’an, menghafalkannya, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram maka ALLAH akan memasukkannya ke syurga dan dia boleh memberikan syafaat kepada sepuluh anggota keluarganya yang kesemuanya seharusnya masuk neraka.”


6. Anak-anak kecil yang meninggal yang belum sampai usia baligh atau taklif.

Diriwayatkan oleh an-Nasai dengan sanadnya,
”Bahwa pada hari kiamat anak-anak kecil akan berdiri lalu dikatakan kepada mereka,’Masuklah ke surga.’ Maka mereka mengatakan,’(Saya akan masuk) sehingga bapak-bapak kami masuk (juga) ke surga.’ Dikatakan kepada mereka,’Masuklah kalian dan bapak-bapak kalian ke syurga.”

Hadis ini dikuatkan oleh hadis-hadis shahih lain yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan yang lainnya. (Fatawa Al Azhar juz VIII hal 104)


Memang tidak disebutkan secara jelas bahwa seorang Tok Guru, ustaz , atau mufti boleh memberikan syafaat kepada orang lain di akhirat nanti. Sesungguhnya istilah Tok Guru, Ustaz dan sebagainya hanyalah gelaran yang diberikan manusia kepadanya kerana ilmu agama mereka. Gelaran tersebut boleh jadi sesuai atau juga tidak sesuai dengan keinginan ALLAH. ALLAH S.W.T tidak hanya mengiktiraf ilmu-ilmu seseorang, bahkan ALLAH melihat amalan dan keikhlasan beramal dari ilmu-ilmu yang dimilikinya itu.

Oleh sebab itu apabila seorang ulama atau ustaz mampu membuktikan ilmu-ilmu yang dimilikinya dengan amal-amal solehnya, atau sifat siddiq (benar) terhadap ilmunya, atau bahkan hingga dirinya mati dijalan ALLAH sebagai syahid maka pastilah dia berhak untuk memberikan syafaat kepada orang lain setelah mendapatkan izin dari ALLAH S.W.T .


WaLLAHu A’lam


Diolah dari: Santapan Minda Pejuang

  © Blogger templates 'Neuronic' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP